Cinta Itu Mahal


Cinta itu mahal

Jangan beri cinta pada sebarangan

Memberi cinta atau meletakkan cinta kepada sebarangan

adalah sia-sia dan akan menyesal

Kerana cinta itu mahal biarlah pulangannya

sepadan dengan mahalnya

Kalau kita cinta kepada sesuatu

kita pula yang memberi sesuatu kepadanya

adalah orang yang bodoh macam baghal

Kita beri cinta pada perempuan

terutama yang bukan isteri kita,

berbagai-bagai perkara dan benda

dia minta kita berikan kepadanya

Bukan dia yang memberi sesuatu kepada kita

bukankah kita dibodohinya?

Adakalanya setelah dia kikis harta dan kekayaan kita,

dia pun tarik diri dari kita apakah untungnya?

Begitu juga kita berikan cinta kepada isteri kita,

berbagai-bagai perkara yang dia minta kita kena beri juga

Dia tidak fikir lagi apakah kita ada atau tidak ada

Sudahlah cinta kita beri kepadanya, kita diminta pula apa sahaja!

Sepatutnya dialah yang memberi kita apa sahaja

Kerana kita telah bayar dengan kecintaan kepadanya,

cinta itu bukankah mahal?

Kita cinta harta, kita cari untuk kita milikinya

Siang malam kita tidak rehat dibuatnya kerana cintakan harta

Setelah dapat apa yang kita mahu

Banyaklah harta yang ada pada kita, hingga kita jadi orang kaya

Aduh! Sedihnya kita pula kena jaga harta

Kalau tidak jaga orang curi pula atau dia binasa

Sepatutnya kecintaan telah kita beri kepadanya,

dialah jaga kita, mengapa pula kita jaga dia

Kita pula telah diperbodoh oleh harta

Kita diperhambanya hingga menyusahkan kita

Kita letak dia di tempat yang mulia dan terpelihara

Hartalah yang mulia bukan kita yang mulia, kita tidak dipedulikannya

Sekali lagi harta boleh memperbodoh kita

Mengapa manusia tidak pandai meletakkan cinta

kepada Zat Dialah yang akan menjaga kita

Dia akan urus kita, bertanggungjawab kepada kita, memelihara kita

Siang malam Dia akan jaga kita. Di waktu susah disenangkan-Nya kita!

Ketika sakit disembuh-Nya kita!

Di kala kita miskin dikayakan-Nya kita!

Di waktu kita lapar dikenyangkan-Nya kita!

Di waktu kita takut, dihiburkan-Nya kita! Bahkan

Dia memberi segala-galanya kepada kita

selama mana kita masih hidup di dunia

Yang saya maksudkan ialah

Tuhan kita yang menghidup dan mematikan kita

Bukankah baik kita cintakan Dia, kita beri kasih sayang kepada-Nya

Alangkah patutnya bahkan indahnya kita mencintai satu Zat

yang belum kita kenal Dia jauh sekali mencintai-Nya

Dia telah beri kita hidup, rezeki, kesihatan, hiburan dan lain-lainnya

Kita belum beri kasih sayang kepada-Nya

Dia telah pemurah dengan kita, terutama udara

Tanpa kita bayar apa-apa kepada-Nya

Kalaulah kita kenal Dia dan cinta pula dengan-Nya

Dia akan beri kita sesuatu yang bersifat rohani dan maknawi pula

Yang bersifat maknawi dan rohani itu

lebih mahal daripada kehidupan yang lahir di dunia

Untungnya kekal abadi,

kita terima di Akhirat sana di dalam Syurga

Apakah dia?

Iaitu rahmat-Nya

Dia akan anugerah yang lebih besar lagi

yang kita akan terima dari-Nya

Hidayah-Nya, taufiq-Nya, iman dan taqwa, cinta-Nya,

redha-Nya, keampunan-Nya akhirnya adalah Syurga-Nya

Mengapa kita tidak jatuh hati dengan Zat

yang kita tidak cinta pun

pemurah-Nya sudah diberi-Nya kepada kita?

Kalau kita cintai Dia

lebih besar lagi kita terima redha dan keampunan-Nya

Kita tidak payah jaga Dia,

Dialah yang jaga kita

Kita tidak payah tadbir Dia,

Dialah yang mentadbir kita

Kita tidak payah menjaga keselamatan-Nya,

Dialah yang menjaga keselamatan kita

Bahkan di waktu kita tidur pun Dia jaga kita begitu setia

Mengapa kita beri cinta murahan,

yang menyusahkan kita

Kitalah yang memberinya bukan dia memberi kita

Macam-macam kita memberinya itu pun dia tidak setia

Alangkah bodohnya kita bahkan malang sekalilah kita

kerana ditipunya kita

Di mana akal kita hingga tidak mampu

berfikir secara rasional

Marilah kita merubah sikap

untuk menyelamatkan diri kita

Kita cintailah Tuhan,

yang Dia memberi kita segala-galanya

hidup dan mati kita

Cintakan Tuhan

selamat kita ke Syurga

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi